Alhamdulillah, Allah kurniakan kesihatan diri, yang merupakan nikmat tak terhingga. Masih dapat bernafas, menghirup oksigen yang diproses oleh tumbuh-tumbuhan dengan izin Allah SWT. Masih dapat menggerakkan mata, telinga dapat mendengar, lidah dapat merasa, deria sentuh masih dapat berfungsi dengan baik. Ya Allah... andai saya perlu sebutkan setiap satu nikmat yang Allah berikan, tak dapek rasanya... Kerana nikmat Allah itu cukup banyak! Alhamdulillah... sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Pemurah (teringat pula Asmaul Husna versi baru...sedap...huhu..).
Beberapa hari yang lalu, jemaah Pakistan telah datang ke Kuantan dan ayah telah menawarkan diri untuk khidmat memasak. Masakan ayah memang enak, mungkin itu memang kepakaran ayah. Tak hairanlah ayah selalu menawarkan diri untuk khidmat memasak... Berbalik kepada cerita. Sejak semalam, kami sekeluarga membantu ayah untuk memasak. Satu sikap yang sangat saya kagum adalah, ayah selalu memasak sambil berzikir mahupun mengaji (mulutnya di tutup dengan tuala supaya tak mencemarkan makanan yang dimasak, namun ayah tak pula berzikir atau mengaji dengan kuat sehinggakan boleh mencemarkan makanan tersebut). Ayah kata,
"Memasak dengan menyebut nama Allah, menunjukkan yang kita selalu berserah padanya. Bukan pembuat rempah yang bagi sedap makanan, tapi Allah. Bukan air yang membuatkan lauk berkuah sedap, tapi Allah. Bukan ayah yang memasak membuatkan lauk sedap, tapi Allah"
Begitulah sikap ayah yang cukup saya kagumi. Pada hari semalam, kami menyediakan roti arab, dal dan kima (daging hancur) buat jemaah Pakistan. Pada hari ini pula, kami menyediakan nasi beriyani berlaukkan ayam masak kurma dan kari daging beserta acar sayur. Sedap, memang sedap.... =)
Pada pagi tadi, setelah bersarapan bersama-sama, ayah telah menyatakan hasratnya untuk membawa kami mendengar bayan yang akan disampaikan oleh jemaah Pakistan sendiri. Saya dengan rasa gembiranya, menerima cadangan ayah dengan terbuka. Alhamdulillah...dapatlah kami bertukar-tukar ilmu...
Pada jam 10.30 pagi, kami bertolak ke rumah sahabat ayah di Beserah. Seperti yang dijangka, jemaah masturat memenuhi ruang yang ada. Cukup ramai yang hadir kerana hari ini merupakan hari Sabtu. Alhamdulillah... sementara menunggu jemaah lelaki dan Pakistan tiba, kami mengisi masa yang terluang dengan mendengar taklim. Antara ilmu yang dapat dikongsi bersama adalah...
Ganjaran membaca ayat Al-Qur'an
100 pahala setiap satu huruf ketika dalam keadaan solat berdiri
50 pahala setiap satu huruf ketika dalam keadaan solat duduk
25 pahala setiap satu huruf ketika dalam keadaan solat (bersujud)
10 pahala setiap satu huruf ketika membaca Al-Qur'an tanpa wudhu'
1 pahala setiap satu huruf sekiranya mendengar orang lain membaca Al-Qur'an
(AlifLamMim dikira sebagai tiga huruf dimana Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf)
Maha suci Allah... Sesungguhnya Allah Maha Pemurah.. dengan mudahnya Dia memberikan kita pahala yang kita sendiri tidak menyedarinya...
Tepat jam menunjukkan pukul 11.10, kami di minta bersedia dan memberikan perhatian sepenuhnya mendengar bayan yang bakal disampaikan. Dimulakan dengan kalimah bismillah, jemaah Pakistan memulakan penyampaian bayan dalam bahasa Hindustan. Saya memahami sedikit sebanyak bayan yang disampaikan dalam bahasa Hindustan sebelum diterjemah kembali oleh penterjemah Malaysia. Mungkin kerana saya pernah meminati cerita hindustan waktu saya kecil..Huhu... Walaupun agak terganggu dengan tangisan bayi dan anak-anak kecil, saya masih dapat memberikan perhatian. Syukur... Berikut merupakan beberapa titik ilmu yang dapat saya kongsikan...
-Kehidupan yang Allah mahukan adalah kehidupan berlandaskan agama kerana agama merupakan asbab untuk kita berjaya di dunia dan di akhirat.
-Barangsiapa yang berIMAN dan berAMAL SOLEH, Allah akan memberikannya kehidupan yang tenang, gembira, bahagia, dan kami akan memberikan ganjaran baik di akhirat.
-Seorang manusia istiqamah dengan bait-bait ini seumur hidupnya sehinggalah dia meninggal dunia... "Kami beriman dengan Tuhan kami, Dialah yang memberikan rezeki, menyelesaikan masalah dan sebagainya". Maka ketika dia meninggal dunia, Allah menurunkan malaikat untuk menyampaikan berita gembira buat dirinya iaitu Allah menjanjikan syurga buat dirinya. Malaikat berkata, "Janganlah kamu bersedih, kami akan menemanimu sesudah kamu mati". Itulah yang akan berlaku pada kita sekiranya kita mengambil agama ke dalam kehidupan kita.
-Kalimah Lailahaillallah
* Hanya Allah yang berkuasa, menafikan kuasa selain Allah, Allah memberikan rezeki, Allah menciptakan segalanya, semua yang berlaku dengan kehendak Allah (dulu dan sekarang)
*Allah punyai kuasa untuk memuliakan dan menghinakan, hanya Allah yang berkuasa menjadikan sesuatu
-Kalimah Muhammadurrasulullah
*Andai kita hidup mengikut sunnah Rasulullah, kita akan capai kejayaan dunia akhirat. Ambil dan ikut apa yang baginda lakukan, tinggalakan apa yang dilarang.
Sabda Rasulullah, "Sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah aku (Rasul Allah)"
-Hari ini, kita sedih, susah dan dihina kerana kita tinggalkan kerja nabi untuk berdakwah, melakukan apa yang dilakukan baginda. Kerna itu, para sahabat berjaya kerana mereka menjadikan kerja nabi sebagai kerja mereka.
-Dakwah merupakan kerja kita. Andai ada yang belum pernah keluar 4 bulan, 40 hari, 10 hari, 3 hari mahupun masturat, sediakanlah diri...
Begitulah yang berlaku. Siapa sangka 2 bangsa berhimpun di bawah satu bumbung kerana satu sebab. Iaitu demi agama Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa. Memang benar, hanya Allah yang berkuasa untuk menjadikan sesuatu yang berlaku. Alhamdulillah, kami menyambut baik kedatangan mereka yang sudi datang ke Malaysia untuk sama-sama berkongsi ilmu agama Allah.
InsyaAllah, sekadar itu sahaja yang dapat saya kongsikan bersama kalian semua. Moga kita manfaatkan ilmu ini bersama, sampaikannya dan mendapat keberkatan Allah SWT. Amin...
Sekian...
Wasalam..
Cahaya Kegirangan Kemuliaan
Assalammualaikum wrt wbt ...
ReplyDeleteSalam ziarah, salam taaruf :D
Marilah kita sama-sama berpesan-pesan ke arah kebaikan, Insya-Allah
InsyaAllah..
ReplyDeletesyukran kerana sudi menjengah blog ini..
=)